Stroke ketika usia muda. Ramai tak sedar simptom awal

(HMetro) Usianya baru mencecah 20 tahun. Kata orang, usia yang baru hendak mengenal dunia luar dan belajar mengenai erti kehidupan.

Di saat remaja seusianya rancak memilih jurusan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dihambat masalah cinta monyet, Nur Izzati Erlen Joni bergelut dengan masalah kesihatan.

Siapa sangka pada usia 19 tahun, remaja periang ini perlu berulang-alik ke hospital dan pusat fisioterapi selepas diserang strok ketika pulang dari percutian singkat bersama keluarga.

Juga siapa sangka strok atau serangan angin ahmar yang selama ini hanya dikaitkan dengan golongan tua sebenarnya boleh menyerang golongan muda khususnya kanak-kanak dan remaja.

Jelas Ketua Pengurus Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM), Sylvia Chong, ramai ibu bapa tidak mengendahkan simptom strok yang berlaku kepada anak mereka hinggalah berlakunya serangan pertama.

“Strok atau angin ahmar ini bukanlah penyakit eksklusif untuk golongan tua. Benar, dulu majoriti serangan angin ahmar ini dialami warga emas dan golongan yang berusia 50 tahun ke atas.

“Tetapi kini makin ramai kanak-kanak dan remaja mengalaminya dan rekod pesakit strok paling muda di negara ini ialah kanak-kanak berusia tujuh tahun,” katanya.

Justeru, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada perubahan yang berlaku pada anak mereka. Ibu bapa juga perlu dititipkan dengan kesedaran dan pengetahuan mengenainya agar si kecil yang mengalami strok dapat dibantu segera.

“NASAM bertindak memberi bantuan kepada pesakit strok dengan memudahkan proses pemulihan mereka.

“Di NASAM, kami menjalankan sesi pemulihan merangkumi fisioterapi, terapi cara kerja dan pertuturan. Sesi ini dijalankan pakar terapi yang dibantu sukarelawan terlatih.

“Matlamat kami untuk membantu pesakit mendapatkan kembali keyakinan diri dan berdikari dengan memberikan mereka motivasi fizikal dan mental, di samping membantu keluarga mereka,” katanya.
Strok di usia muda

Apa sebenarnya strok atau angin ahmar ini? Strok adalah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung dan kanser.

Ia menyebabkan kehilangan upaya yang teruk dan menurut NASAM, setiap tahun dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok.

Tiada had umur, bangsa dan agama kerana strok ini boleh menyerang sesiapa saja termasuk golongan muda.

Memetik kenyataan Pakar Perubatan Kecemasan & Kesihatan Pekerjaan di Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Abdullah Asad Siddiqui, tiada sebab mengapa kanak-kanak tidak boleh diserang strok.

“Ia mula menjadi salah satu ancaman kepada bayi, kanak-kanak, remaja dan golongan muda. Jika saya perlu mendefinisikan kategori usia strok untuk golongan muda ini, ia dalam lingkungan bayi sehinggalah mereka yang berusia di bawah 45 tahun.

“Strok dalam kumpulan umur yang lebih muda ini memerlukan pendekatan dan pengurusan berbeza kerana ia melihat kepada beberapa punca berbeza.

“Semua serangan strok disebabkan oleh kekurangan bekalan darah ke otak. Bagi kanak-kanak, punca biasa ialah termasuk jangkitan, trauma, gangguan jantung, penyakit sel dan dehidrasi.

“Kes membabitkan kardiogenik atau berkaitan jantung pula banyak dialami golongan dewasa yang melepasi usia remaja, antaranya disebabkan penyalahgunaan dadah dan penggunaan ubat-ubatan terutamanya intravena.

“Punca kardiogenik mungkin termasuk penyakit jantung reumatik, keabnormalan injap jantung dan dilahirkan dengan lubang pada sempadan yang memisahkan bilik kanan dan kiri jantung.

“Punca lain strok termasuk pengumpulan darah atau darah beku dalam saluran darah di leher, pengambilan pil kawalan kelahiran dan merokok,” jelasnya.
Kehidupan selepas strok

Meskipun dalam kebanyakan kes strok tidak membawa maut, pesakit yang diserang angin ahmar ini mengalami masalah menguruskan diri dan melakukan aktiviti harian seperti makan, mandi, belajar dan sebagainya.

Seperti apa yang dialami Nur Izzati, beberapa aktiviti ringan masih boleh dilakukan selepas diserang strok pertama kali pada April tahun lalu.

“Ketika serangan pertama, hanya kaki kanan yang terjejas dan saya masih boleh melakukan aktiviti lain kerana rasa kejang pada jari serta tangan hanya berlaku beberapa saat saja. Ketika itu saya bercuti di rumah kakak di Melaka.

“Apabila kembali ke rumah di Selayang sehari selepas itu, seluruh bahagian kanan tubuh terus kejang hingga saya mengambil masa lama untuk bangun dari tidur.

“Keadaan makin teruk pada sebelah petangnya apabila saya rebah selepas keluar dari bilik air. Ketika itulah saya mula keliru dan terkejut dengan apa yang berlaku.

“Namun, kami ambil masa lama untuk mendapatkan rawatan di hospital. Hanya keesokannya keluarga membawa saya ke hospital dan didapati ia serangan strok,” katanya.

Nur Izzati ketika itu lumpuh separuh badan dan mula sukar untuk bercakap. Malangnya pakar neurologi tiada untuk membantu memberikan rawatan lanjutan dan dia terpaksa pulang ke rumah dalam keadaan seperti itu.

Dua hari selepas itu barulah dia diberi rawatan sepatutnya dan menjalani beberapa siri ujian serta MRI.

“Selama ini saya rasa sihat dan tiada perubahan mendadak pada diri. Bagaimanapun berat badan saya ketika itu mencecah 100 kilogram dan saya berisiko mengalami tekanan darah tinggi.

“Ada juga sesekali saya rasa kebas di hujung jari dan kerap sakit kepala tetapi saya tidak berasakan ia memudaratkan.

“Tetapi punca utama berlakunya strok ini ialah disebabkan faktor genetik. Disebabkan strok inilah baru saya tahu diri dilahirkan dengan keadaan saluran darah yang kecil ke otak.

“Disebabkan itulah otak kurang menerima darah dalam kadar normal, ditambah keadaan tubuh yang gempal,” ujarnya.

Nur Izzati seterusnya memulakan terapi di NASAM cawangan Melaka berikutan lokasi yang hampir dengan kediaman kakaknya berbanding di Kuala Lumpur.

Setiap hari, Nur Izzati menjalani latihan senaman selama dua setengah jam merangkumi sesi terapi menguatkan otot kaki dan ketahanan tubuh.

Dalam masa sama, diet pemakanannya juga berubah hingga menyaksikan berat badannya kini susut sebanyak 20 kilogram.

Nur Izzati kini sudah berupaya melakukan aktiviti seperti remaja lain dan dalam usaha meneruskan pengajiannya di tahun akhir dalam jurusan Perbankan Islam di Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:31 PM
Stroke ketika usia muda. Ramai tak sedar simptom awal Stroke ketika usia muda. Ramai tak sedar simptom awal Reviewed by Luthfi Suib on April 08, 2019 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.