Post Top Ad

KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus daripada rakyat Malaysia yang dilindungi insurans hayat, mempunyai perlindungan di bawah kadar sebenar, kata Pengerusi Jawatankuasa Promosi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Ramzi Toubassy.

"Pada 2015, kira-kira 50 peratus (lebih kurang 12.5 juta) daripada penduduk Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat tetapi hampir 90 peratus daripada mereka di bawah perlindungan sebenar, yang bermaksud perlindungan insurans mereka mungkin hanya satu atau dua kali pendapatan tahunan mereka," katanya.

"Apabila sesuatu yang tidak ingini berlaku kepada mereka, wang untuk keluarga mereka mungkin hanya dapat bertahan selama satu atau dua tahun," katanya.

Jumlah itu, katanya, jauh daripada peraturan industri insurans hayat yang menyatakan seorang individu yang juga pencari nafkah, dicadangkan mempunyai perlindungan insurans hayat bersamaan 10 kali pendapatan tahunannya.

Dengan jumlah perlindungan diinsuranskan lebih tinggi, sekurang-kurangnya dapat menjamin kehidupan keluarga selama 10 tahun akan datang, katanya.

Walaupun nisbah yang tinggi penduduk di bawah perlindungan sebenar insurans di negara ini, Toubassy kekal optimis bahawa Malaysia boleh mencapai sasaran mempunyai 75 peratus daripada penduduknya diinsuranskan pada tahun 2020.

Industri insurans hayat Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus dalam perlindungan insurans kepada RM1.24 trilion pada 2015 berbanding RM1.17 trilion pada 2014 dan industri ini dijangka mencapai pertumbuhan satu angka yang sederhana tahun ini. - BERNAMA

 

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad