Post Top Ad


(Utusan) KESIHATAN seharusnya dianggap sebagai aset utama dalam kehidupan, bukan pangkat atau pun darjat, bukan harta benda mahupun jumlah wang simpanan di bank.

RAMAI dalam kalangan masyarakat masih tidak tahu bahawa obesiti adalah pemangkin kepada penyakit-penyakit kronik.

Bagaimanapun, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan baru-baru ini menunjukkan perkembangan yang membimbangkan. Trend kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia kini menunjukkan peningkatan mendadak penyakit kronik melibatkan generasi muda.
Data terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula meletakkan Malaysia sebagai ‘juara obesiti’ di rantau Asia. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menyokong fakta ini dengan menunjukkan bahawa 47.7 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengalami permasalahan berat badan berlebihan atau obesiti.

Sebelum ini kita faham bahawa obesiti adalah suatu keadaan yang menggambarkan situasi berat badan berlebihan, tetapi kini obesiti telah pun digelar sebagai suatu penyakit.

Ramai dalam kalangan ma­syarakat masih tidak tahu bahawa obesiti adalah pemangkin kepada penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan juga kencing manis (diabetes).


Data daripada kajian yang sama itu juga menunjukkan bahawa penyakit tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan kencing manis dalam kalangan rakyat Malaysia semakin mening­kat ke paras membimbangkan.
Dapat dilihat bahawa golongan berusia 18 tahun ke atas, sebanyak 30.3 peratus rakyat Malaysia kini menghidap masalah tekanan darah tinggi, manakala 47.7 peratus pula menghidap masalah paras kolesterol tinggi dan prevalen diabetes (kencing manis) pula kini mencecah 17.5 peratus.

Apa yang lebih membimbangkan adalah data yang diperoleh itu diambil daripada lapisan masyarakat berusia 18 tahun ke atas. Secara jelas dapat dilihat bahawa kini trend penyakit kronik sudah mula menular dalam kalangan generasi muda negara ini.
Apa yang perlu kita fahami adalah komplikasi akibat penyakit kronik ini secara umumnya akan hadir bukan dalam masa terdekat, sebaliknya dalam tempoh 15 hingga 30 tahun akan datang. Ini bermakna, sekiranya individu itu didiagnos dengan sesuatu penyakit kronik, komplikasinya secara lazim akan muncul 15 hingga 30 tahun dari masa pesakit didiagnos.

Namun, sekiranya penya­kit-penyakit kronik ini tidak dirawat atau ditangani lebih awal, maka tanda-tanda kom­plikasi boleh muncul lebih awal sekitar 10 hingga 15 tahun.

Penyakit tekanan darah tinggi umpamanya, jika tidak dirawat dengan optimum maka boleh menyebabkan implikasi buruk.
Antaranya memberi kesan kepada saluran darah melalui pembinaan ‘plaque’ pada permukaan dalaman salur darah (atherosclerosis) yang seterusnya menyebabkan kejadian serangan strok, lemah jantung, serangan jantung (myocardial infarction), kegagalan jantung, kerosakan dan kegagalan buah pinggang (melalui proses nephropathy), kerosakan hati, serta kerosakan fungsi mata.

Bagi diabetes pula, kerosakan organ seperti kegagalan fungsi buah pinggang, peningkatan risiko serangan jantung (silent myocardial infarction), kerosakan sistem saraf (neuropathy) dan salur darah yang seterusnya menyebabkan penyakit ulser pada kaki terutamanya akhirnya menyebabkan pemotongan kaki.
Juga kerosakan fungsi mata (retinopathy) lazimnya hadir dalam lingkungan 15 hingga 30 tahun selepas diagnosis penyakit kencing manis, dengan kadar bilangan masyarakat Malaysia yang ramai masih takut untuk mendapatkan rawatan perubatan moden akibat terpengaruh dengan stigma di media sosial ­seperti ‘ubat merosakkan buah pinggang’.

Kesimpulan logikal yang dapat dibuat adalah dalam jangka masa sekitar 10 hingga 20 tahun lagi, ramai dalam kalangan penghidap penyakit kronik di negara kita akan mendapat komplikasi pe­nyakit dan seterusnya menyumbang kepada pertambahan kesesakan sistem kesihatan kerajaan.

Andai kata golongan penghidap penyakit kronik ini langsung tidak mendapatkan rawatan atau terdorong kepada rawatan alternatif yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, maka dapat dijangka isu penekanan kepada sistem kesihatan negara akan berlaku lebih awal. Kesan fenomena ini, jika persediaan rapi tidak dilaksanakan maka akan mencetuskan suatu krisis kepada sistem kesihatan negara.

Kementerian Kesihatan sememangnya peka terhadap isu ini. Pelbagai persediaan efektif dilaksanakan dalam usaha mempertingkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat. Pendekatan pendidikan mengenai penyakit kronik menerusi poster-poster serta di laman media sosial kini dilihat tersebar luas.

Kempen kesihatan melalui landasan seperti MySihat di ­peringkat negeri dan kebangsaan turut digiatkan dengan aktif. Pendekatan kesedaran di pe­ringkat sekolah di seluruh negara ­umpamanya melalui Kelab Doktor Muda jelas menunjukkan bahawa kempen kesedaran harus diperkuat dari peringkat akar umbi.

Namun, faktor utama yang menyumbang kepada fenomena obesiti dan pe­nyakit kronik dalam kalangan rakyat Malaysia adalah faktor pemakanan yang tidak seimbang masih menjadi isu yang sukar ditangani. Gaya hidup di bandar yang sibuk menyumbang kepada budaya makan luar yang sudah dikenal pasti dengan sifatnya yang kurang sihat dan tidak seimbang. Maka, untuk meng­ubah corak dan budaya pemakanan masyarakat kita ternyata adalah cabaran utama dan harus dijadikan fokus usaha pihak-pihak bertanggungjawab.

Demi menangani isu ini, kerjasama pelbagai pihak diperlukan yang mana pihak kerajaan perlu bertindak sebagai strategis utama. Usaha pertama yang harus diberi penekanan adalah untuk memperkembangkan pelaksanaan program saringan kesihatan yang lebih efektif dan terperinci.

Selain itu, pihak kerajaan harus juga menggalakkan syarikat-syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) untuk mewujudkan program-program menurunkan berat badan yang berinsentif agar suatu budaya baru dapat dicorakkan.

DR. MUHAMMAD HAKIM NOORDIN ialah Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad